Tokoh Agama : Salahuddin Al-Ayyubi
Nama sebenar beliau ialah Salahuddin Yusuf Bin Najmuddin Ayyub. Beliau dilahirkan di Damsyik pada tahun 532 Hijrah/1138 Masihi. Beliau mengasaskan kerajaan dinasti Ayyubiah. Beliau adalah anak kepada seorang gabenor di wilayah Baalbek iaitu Najm Ad-Din Ayyub. Terdapat beberapa riwayat yang mahsyur yang mengisahkan tentang sejarah hidup Salahuddin Al-Ayyubi. Namun, yang pasti, kesemuanya tetap menceritakan keperwiraan serta kesolehan Salahuddin Al-Ayyubi.
Salahuddin Al-Ayyubi mendapat latihan ketenteraan dari bapa saudaranya iaitu Shirkuh yang juga merupakan seorang panglima tentera kepada Sultan Ad-Din. Beliau telah mula mengikuti bapa saudaranya itu berperang seawal usia 16 tahun lagi. Salahuddin digambarkan sebagai seorang pahlawan yang mahir bermain pedang serta cekap menunggang kuda. Beliau seorang hamba Allah yang sangat warak serta merendah diri. Siri kejayaan beliau bermula selepas diperintahkan menguasai Mesir pada sekitar tahun 1160 Masihi. Beliau bersama para tentera Islam yang lain telah berjaya menundukkan kerajaan Mesir yang pada ketika itu dikuasai oleh kerajaan Fatimiyah yang berfahaman Syiah. Bermula dari peristiwa ini, beliau mula menolak keduniaan, bersikap lebih berserderhana dalam kehidupan serta mula menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam yang terbilang. Beliau telah mengembalikan ajaran Sunah Wal Jamaah di bumi Mesir setelah dikuasai oleh fahaman Syiah selama hampir 270 tahun.
Perang Salib Ketiga telah meletus setelah berita kejayaan Salahuddin Al-Ayyubi menguasai Jerusalem sampai ke pengetahuan para pemimpin Kristian yang lain. Para panglima besar Kristian serta raja-raja Kristian yang lain telah bersekutu di bawah panji Salib untuk menggempur kembali serta menawan semula Jerusalem. Antara mereka termasuklah beberapa nama besar dunia Kristian seperti raja Richard berhati Singa iaitu raja England serta Philip Augustus iaitu raja Perancis dan juga Fredrick Barbossa iaitu raja Jerman. Kesemua tentera di bawah pimpinan raja-raja ini telah bergerak dan menggempur kota Jerusalem. Namun, tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi sedikitpun tidak gentar bahkan mereka tetap berjuang bersungguh-sungguh mempertahankan kota Jerusalem dari jatuh ke tangan pihak Kristian. Peperangan ini telah berlanjutan dan memakan masa selama hampir lima tahun. Setelah kedua-dua pihak menjadi letih dan lesu akibat peperangan yang tidak kunjung tiba penamatnya, satu perjanjian telah dibuat pada tahun 1192 Masihi di antara Salahuddin Al-Ayyubi dan pihak Kristian yang dinamakan Perjanjian Ramla. Perjanjian ini telah mengakui bahawa Salahuddin sebagai pemerintah Jerusalem yang sah dan seluruh Jerusalem dikuasainya kecuali sebuah bandar iaitu Acra dikuasai oleh pihak Kristian.
Salahuddin Al-Ayyubi telah pulang ke Rahmatullah pada tanggal 27 Safar 1193 Masihi ketika usianya 57 tahun. Dengan pemergian beliau, seluruh umat Islam berdukacita di atas pemergian seorang pahlawan Islam yang sangat hebat yang telah berjaya mengembalikan semula kegemilangan Islam dan menggemparkan seluruh dunia Kristian.
Comments
Post a Comment