Kritikan Drama : Budak Tebing 1
Drama Budak Tebing 1 ini mengisahkan tentang Arif yang baru pulang dari menjalani hukuman di Henry Gurney kerana kes pembunuhan. Dulu dia merupakan anak yang bijak dan menjadi kesayangan ibunya Aida, manakala adiknya Yoyol, menganggap Arif sebagai idola. Semasa kecil, Arif dan rakan-rakannya banyak menghabiskan masa di sebuah tebing di kampung mereka sehingga mendapat gelaran ‘budak tebing’. Lepas Arif keluar, Tongki dan Laura buat perjumpaan semula dan bersihkan tempat mereka melepak dari menjadi sarang dadah. Aida menyampah bila dapat tahu Arif berkawan balik dengan Tongki, dia tak nak anak dia jadi buah mulut orang.
Arif pula penat mencari kerja tapi tidak diterima sebab tiada SPM dan lepasan Henry Gurney, di rumah pula dia selalu dimarahi oleh ibunya. Arif tertekan tapi dia perlu bertahan untuk tebus dosa lama dan bersihkan kembali nama yang tercemar. Tongki bantu Arif dapatkan kerja di kedai cuci kereta dan dalam masa yang sama terjumpa Ira, anak pelacur yang diburu oleh bapa ayam untuk dijual. Tongki minta bantuan Laura supaya tumpangkan Ira di rumahnya, tetapi Puan Sabrina pula cemburu bila suami dia mudah mesra. Bila Ira lari keluar dari rumah, dia pula terjumpa dengan Yoyol di rumah usang. Kebetulan Yoyol juga lari dari rumah disebabkan bertegang urat dengan Arif. Tanpa mereka sedar, masing-masing berkait antara satu sama lain.
Seronok drama Budak Tebing ni kerana berkisarkan kehidupan B40 di bandar Kuala Lumpur. Bagaimana setiap watak menceritakan setiap masalah keluarga mereka dan bagaimana mereka berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut. Selain dari masalah sendiri, masalah tebing dan jualan dadah yang dijalankan oleh Broger pun antara plot yang dimasukkan supaya kisah budak tebing jadi lebih menarik. Sedih apabila tengok Arif terpaksa hadap apa yang mak dia perli atau marah padahal bukan dia buat benda jahat pun. Dia nak tolong pun mak dia marah. Bila tengok cara mak dia layan anak-anak, boleh nampak lah cara tu agak toksik. Anak buat salah sikit terus campak keluar rumah macam dia buat dekat Yoyol bila air Milo tumpah dekat buku Arif.
Pengarah cerita membuat pilihan yang baik dalam pemilihan barisan pelakon sebab semua watak perlu bermain dengan emosi yang tinggi, baik watak utama mahupun watak sampingan. Diadunkan pula dengan lagu Sakit yang menggambarkan keadaan galau yang dilalui oleh setiap watak. Ada babak sampai boleh menangis bila tengok. Drama Budak Tebing ni ada banyak babak dengan barisan watak pelakon yang ramai tapi episod terlampau pendek untuk menceritakan kisah mereka dengan baik. Ada babak yang tergesa-gesa diceritakan macam kisah Ira dengan ibu dia, Murni. Babak Broger ada terselit babak yang agak kelakar jika dilihat kembali.
Sinematografi yang menggambarkan kehidupan masyarakat kampung di bandar Kuala Lumpur agak sesuai kerana masyarakat di Kampung Baru tidaklah terlalu pedalaman. Tapi untuk menggambarkan budak tebing yang susah dengan masalah kewangan ataupun watak Ira yang hidup di lorong nampak cantik. Tidur merempat dalam rumah usang pun masih lagi nampak cantik, baju pun tak pernah ulang padahal beg yang dibawa tu kecil je. Secara keseluruhan, drama ini telah berjaya membawa kisah kehidupan masyarakat dengan tema dan mesej sosial yang bagus kepada penonton awam.
Comments
Post a Comment