Lokasi Yang Dikunjungi : Pulau Perhentian
Pulau Perhentian yang terletak di daerah Besut, Terengganu antara sebuah pulau yang menjadi sumber tarikan pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara. Pulau Perhantian sentiasa menjadi sebutan jika ingin menyenaraikan pulau percutian di Malaysia. Pulau Perhentian ini mudah untuk dikunjungi dengan layanan penduduk tempatan yang penuh dengan kesopanan adat melayu asli. Saya dan keluarga berpeluang untuk bercuti selama dua hari dan satu malam di Pulau Perhentian. Pada sekitar jam 8 pagi, kami sekeluarga sudah berkumpul di Jeti Kuala Besut untuk menaiki bot paling awal untuk ke Pulau Perhentian. Perjalanan ke sana mengambil masa selama 45 minit. Setelah sampai di sana, kami sekeluarga menginap di D'Rock Garden Resort. Kemudian kami menukar pakaian di bilik air yang disediakan dan terus menuju ke tepi pantai untuk aktiviti menyelam.
Terdapat dua orang pelatih aktiviti menyelam yang memberikan penerangan tentang alatan, kawasan dan bantuan seperti cadangan gambar yang menarik ketika di Turtle Point. Di Pulau Perhentian, terdapat lima kawasan untuk aktiviti menyelam. Masing-masing memiliki nama, gelaran dan keistimewaan yang tersendiri. Antaranya ialah Pulau Tiga Ruang, Turtle Point, Fish Point, Shark Point dan Lata Air Berani.
Kawasan pertama yang dikunjungi ialah Pantai Tiga Ruang iaitu tempat permulaan untuk menyelam. Di kawasan ini pengunjung akan diberikan peluang untuk membiasakan diri dengan peralatan menyelam, memeriksa jika ada peralatan yang tidak sesuai seperti longgar, terlalu ketat dan kurang selesa bila dipakai. Bukan sekadar tempat latihan menyelam, disini terdapat juga ikan ikan dan batu-batu karang. Seterusnya kami ke kawasan menyelam iaitu kawasan ini dinamakan Turtle Point. Di kawasan ini pastinya akan menemui banyak penyu. Terjun terus dari bot, kerana kawasan penyu berada agak jauh dari pantai. Salah terjun boleh tertelan air masin laut. Saya bernasib baik menemui penyu disini, walaupun cuma beberapa ekor. Penyu yang ditemui adalah penyu belimbing yang agak besar saiznya.
Kemudian kami ke kawasan ikan Nemo. Tujuan utama menyelam di kawasan ini adalah pencarian spesies ikan nemo. kawasan ini digelar 'Finding Nemo Point'. Disini adalah kawasan simpan terumbu karang yang berwarna warni yang menjadi kawasan permainan ikan-ikan laut yang pelbagai. Pengunjung disarankan membawa roti dan makanan yang sesuai untuk menarik perhatian ikan. Seterusnya kami ke 'Shark Point'. Tarikan di kawasan ini ialah taman permainan ikan jerung memandangkan dasar laut di kawasan ini agak dalam. Ikan jerung di kawasan ini jinak dengan pelancong. Ikan Jerung di kawasan ini sebenarnya mengikut musim. Namun, masih terdapat banyak ikan dan hidupan laut yang lain.
Akhir sekali ialah di kawasan Lata Air Berani iaitu tempat untuk bilas badan. Setelah penat menjelajah empat kawasan menyelam, kini tiba masa untuk isi semula tenaga dan kesegaran. Di sini, bukanlan aktiviti menyelam menjadi keutamaan , masih boleh menyelam di kawasan ini, memandangkan ia adalah sebuah pantai. Namun, yang menariknya di sini ialah air terjunnya. Memang sejuk airnya, air yang turun dari celahan batu bukit menuju ke laut. Terdapat sebuah kolam yang dibina untuk menakung air terjun.
Pengalaman berkunjung ke Pulau Perhentian amat menyeronokkan. Rugi jika tidak merasai kelima-lima kawasan untuk menyelam di Pulau Perhentian ini. Jika ada waktu lapang lagi di masa depan, pasti saya akan kunjungi lagi.
Comments
Post a Comment