Isu Semasa : Kemurungan
Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan perasaan seseorang individu menjadi semakin menurun. Ini akan menjejaskan kehidupan harian individu tersebut, termasuklah pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kesejahteraannya. Sekiranya tidak ditangani secara efektif, ia boleh mendorong kepada tindakan membunuh diri. Apabila seseorang mengalami kemurungan, kehidupan seharian akan menjadi tidak terkawal kerana mereka tidak mmpu untuk menguruskan diri sendiri. Kemurungan ini bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri malah ia juga boleh mengubah hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, kemurungan juga dikenali dalam perubatan sebagai “depressive disorder” atau kemurungan klinikal. Ia adalah penyakit sebenar dan bukan petanda kelemahan seseorang atau kekurangan pada karakternya. Namun begitu, kemurungan merupakan sesuatu yang boleh diubati dan dicegah. Kita wajarlah mengambil tahu bahawa kemurungan ini boleh dirawat dan kebanyakan pesakit sembuh selepas mendapatkan rawatan yang sebaiknya.
Kemurungan seringkali disalah tanggap oleh masyarakat sebagai satu keadaan yang sama dengan kesedihan atau kehilangan namun kemurungan tidak sama dengan stigma yang ada dalam masyarakat. Sebagai contoh situasi, kehilangan orang tersayang adalah satu keadaan yang amat sukar untuk dihadapi oleh hampir semua individu namun begitu perasaan yang dirasai oleh individu sering dikatakan sebagai kemurungan walhal ia cuma perasaan sedih yang melampau kerana kehilangan orang yang tersayang. Namun begitu, merasai kesedihan dan kemurungan adalah dua perkara yang berbeza walaupun keduanya mungkin mempunyai beberapa ciri yang sama kerana merasa kehilangan.
Terdapat beberapa jenis kemurungan bergantung kepada tahapnya seperti Major Depression, Dysthymia dan Maniac Depression. Seseorang yang menghidapi Major Depression akan mengalami beberapa kombinasi simptom selama dua minggu berturut-turut seprti hilang rasa keseronokan dalam melakukan aktiviti seharian, berat badan menaik atau menurun dengan mendadak, tidur yang berlebihan atau tidak dapat untuk tidur seperti biasa, lambat berfikir dan bergerak, tidak bertenaga pada kebanyakan hari, rasa tidak berguna dan hilang fokus terhadap sesuatu perkara. Dysthymia pula merupakan sejenis kemurungan yang kurang teruk namun ia merupakan kemurungan yang berpanjangan di dalam tempoh yang panjang sekurang-kurangnya mengalami simptom selama dua tahun. Maniac Depression merupakan satu jenis kemurungan yang melibatkan perasaan seseorang yang bercampur aduk dan tidak teratur. Jenis kemurungan yang ini kebiasaannya menunjukkan perubahan emosi seseorang itu secara mendadak dan tiba-tiba tetapi selalunya berperingkat.
Kemurungan merupakan satu penyakit mental yang dapat diubati dengan beberapa langkah. Setiap individu haruslah menyedari bahawa kemurungan merupakan satu penyakit mental yang mampu membuatkan seseorang membunuh diri dan ia bukan satu isu yang harus dianggap ringan di kalangan masyarakat apatah lagi dianggap sebagai sesuatu yang dianggap sebagai kebiasaan di kalangan masyarakat.
Comments
Post a Comment